PENGENDALIAN LEPAS TUAI SAYUR-SAYURAN DAUN
PENUAIAN
Penuaian merupakan operasi awal dalam pengendalian lepas tuai. Aspek penting bagi penuaian adalah menentukan tahap kematangan yang sesuai dan cara penuaian. Tahap kematangan ketika penuaian mempengaruhi mutu dan ketahanan semasa penyimpanan. Citarasa sesuatu jenis sayur berbeza sekiranya hasil dikutip terlalu muda atau terlalu tua.
Masa penuaian yang sesuai bagi sayuran bergantung pada iklim, musim penanaman tertentu, varieti dan jenis sayur. Menentukan tahap sesuatu jenis sayur itu telah mencapai puncak mutu terbaik, bukanlah satu perkara yang mudah dilakukan. Jangka masa kematangan yang tertera pada label yang terdapat pada paket atau katalog biji benih boleh digunakan sebagai panduan sahaja. Indeks penuaian bagi kebanyakan sayur buah dan sayur daun adalah berdasarkan saiz dan warna. Sayur buah pada peringkat muda seperti timun dan bendi, misalnya, boleh dipetik pada beberapa saiz mengikut keperluan pasaran. Manakala kebanyakan sayur buah yang diperlukan pada peringkat matang seperti tomato dan cili, penuaian mungkin bergantung pada perubahan warna sayuran tersebut. Bagi sayur daun pula, saiz biasanya digunakan sebagai kriteria utama bagi indeks penuaian. Manakala sayuran seperti kubis, kepadatannya boleh digunakan sebagai asas penuaian. Umumnya, peringkat kematangan yang sesuai untuk penuaian berbeza mengikut jenis sayur dan cara pemasarannya.
PENGENDALIAN DI LADANG
Pengendalian di ladang perlu dilakukan dengan cermat bagi mengelakkan kecederaan mekanikal yang boleh memberi kesan lebam, calar atau pecah. Pengendalian awal yang dilakukan di ladang dapat mengurangkan kadar kerosakan sayuran pada peringkat pengendalian yang berikutnya. Disamping itu, operasi penyediaan di rumah pembungkusan dapat dikurangkan sekiranya penyediaan awal telah dilakukan di ladang.
MEMETIK SAYURAN
Kebanyakan sayur dipetik menggunakan tangan sahaja atau menggunakan pisau yang tajam. Pisau yang digunakan mestilah sentiasa tajam dan bersih untuk mengelakkan penyebaran virus dari satu pokok ke pokok yang lain. Teknik penuaian berbeza bergantung pada bahagian tanaman yang dipetik. Bagi sayur jenis crucifer (kubis, kailan, kubis bunga dan brokoli), batang utamanya dipotong dengan pisau tajam dan pembersihan boleh dibuat di ladang. Manakala sesetengah sayur daun yang lain (bayam, kangkung) biasanya dicabut dengan tangan. Perlulah dipastikan supaya bahagian tangkai yang dipotong tidak menyentuh permukaan tanah. Sayur buah yang mempunyai tangkai yang ada lapisan pemisah (kacang panjang, buncis, cili) boleh dipetik dengan cara memutuskan tangkai dengan mudah menggunakan tangan. Sebaliknya sayur buah yang mempunyai tangkai yang liat, memetik menggunakan tangan boleh merosakkan sama ada tangkai atau buah (bendi, terung, timun, labu). Sayur jenis ini boleh dipetik dengan cara memotong tangkai menggunakan gunting (secateurs) atau pisau.
Masa yang sesuai untuk menjalankan operasi penuaian perlu juga difikirkan. Penuaian perlu dilakukan pada waktu yang paling sejuk, sama ada pada awal pagi atau lewat petang. Sayuran untuk pasaran tempatan boleh dipetik pada waktu pagi. Untuk pasaran yang jauh, penuaian lebih baik dilakukan pada waktu petang sekiranya pengangkutan yang sesuai dapat diatur untuk mengangkut sayuran ke pasaran pada waktu malam atau awal pagi keesokan harinya. Bekas pengisi sayuran yang digunakan semasa penuaian mestilah mempunyai saiz yang sesuai dan boleh dibawa oleh pekerja ke seluruh ladang. Bekas tersebut mestilah mempunyai dinding yang tidak tajam untuk mengelakkan kerosakan pada sayur. Penggunaan bekas yang kotor atau tercemar oleh tanah, sisa tumbuhan dan sisa yang reput perlulah dielakkan.
Sayuran yang telah dipetik mestilah dikumpulkan di tempat yang redup sekiranya pengangkutan segera tidak dapat dilakukan. Sayuran yang terdedah pada panas matahari akan mengalami peningkatan suhu yang menyebabkan sayur mudah rosak dan layu. Merenjis dengan air mungkin perlu supaya sayur tidak layu. Sayuran yang telah dipetik juga mesti dielakkan daripada tercemar degan tidak meletakkannya secara terus di tanah terutamanya tanah basah.
Peringkat penuaian yang sesuai mengikut kiraan masa selepas ditanam bagi sayuran terpilih
Sayur Daun | Selepas Ditanam | Sayur Buah | Selepas Ditanam | Kekacang dan Ubi | Selepas Ditanam |
Bayam Brokoli Kailan Kangkung Kubis bulat Kubis bunga Kubis cina Sawi | 4 minggu 8 minggu 6 minggu 3 minggu 8-8 minggu 8 minggu 8 minggu 4 minggu | Bendi Capsicum Cili Terung Timun Tomato | 8 minggu 10 minggu 10 minggu 14 minggu 4 minggu 6-9 minggu | Jagung sayur Kacang buncis Kacang manis Kacang panjang Keledek Sengkuang | 7 minggu 5 minggu 5 minggu 5 minggu 3-5 minggu 3-5 minggu |
PEMBUNGKUSAN DI LADANG
Penggunaan bahan pembungkus yang sesuai serta tahan lasak semasa di ladang amat penting untuk mengurangkan kerosakan semasa pengendalian dan pengangkutan. Kaedah pembungkusan yang baik dapat mengurangkan kehilangan air daripada sayuran dan kerosakan mekanikal yang boleh mempengaruhi mutu sayuran pada peringkat penggunaan. Memasukkan hasil yang dituai terus ke dalam bungkusan yang tersedia untuk dipasarkan adalah digalakkan bagi mengurangkan kerosakan disebabkan oleh pengendalian berganda.
PENGANGKUTAN DI LADANG
Mengangkut sayuran keluar dari ladang ke rumah pembungkusan perlu dilakukan dengan cepat untuk mengelakkan sayuran daripada terdedah terlalu lama pada persekitaran yang kadangkalanya terlalu panas atau terlalu lembap. Jenis kenderaan yang digunakan perlu disesuaikan dengan jarak pasaran dan jumlah sayuran yang dikendalikan. Lori kecil atau trailer yang disambungkan ke traktor boleh digunakan untuk mengangkut sayuran yang dipetik ke tempat pengumpulan atau rumah pembungkusan. Jalan ladang perlulah dalam keadaan baik sebab kerosakan terhadap sayuran mudah berlaku jika diangkut melalui jalan yang tidak rata lebih lebih lagi jika menggunakan kenderaan yang tidak sesuai. Bekas yang berisi sayur mestilah dipunggah ke dalam kenderaan dengan cermat dan disusun dengan sebaik mungkin supaya tidak mudah terbalik atau terlalu memberi beban kepada bekas di lapisan bawah, yang boleh menyebabkan kecederaan.
OPERASI RUMAH PEMBUNGKUSAN
Rumah pembungkusan merupakan kawasan teduhan untuk melakukan operasi penyediaan bagi menyediakan sayuran untuk pasaran. Rumah pembungkusan boleh merupakan bangsal yang mempunyai peralatan yang terhad atau kompleks yang dilengkapi dengan berbagai-bagai jenis peralatan moden. Operasi penyediaan yang dijalankan meliputi pemilihan, pemotongan, pembasuhan, pengeringan, penggredan, penyimpanan dan pembungkusan. Kesesuaian sesuatu operasi penyediaan berbeza mengikut jenis sayur dan jenis pasaran.
PEMPROSESAN MINIMUM SAYURAN
Aspek pemprosesan minimum merupakan satu aktiviti lepas tuai yang mula mendapat tempat di pasaran sekarang. Sayuran yang diproses secara minimum merupakan sayuran yang telah dilakukan pembersihan, dibuang kulit atau dipotong dan dibungkus. Operasi yang dilakukan bergantung pada jenis sayur. Sayur yang diproses secara minimum ini sedia untuk terus dimasak atau dimakan. Melalui kaedah yang sesuai, sayuran yang boleh diproses secara minimum dapat dikekalkan kesegarannya untuk tempoh simpanan tertentu. Antara kelebihan yang diperolehi daripada hasil pemprosesan minimum ini ialah pengguna mudah membuat pilihan pada hasil yang dibeli dalam masa yang singkat. Bahagian-bahagian yang hendak dimakan atau digunakan jelas kelihatan. Selain itu pengguna juga dapat menjimatkan masa pengendalian sayuran itu sendiri, terutama bagi sayuran yang telah tersedia dipotong (bergantung pada jenis sayur). Pembelian bersesuaian dengan menu yang dirancang.
Suhu, kelembapan dan tempoh simpanan
yang sesuai bagi sayur terpilih
yang sesuai bagi sayur terpilih
Jenis | Suhu (oC) | Kelembapan relatif (%) | Tempoh |
Bayam Cili Kacang bendi Kacang panjang Kailan Kangkung Kubis bulat Kubis bunga Kubis cina Labu Lobak merah Saderi Sawi Terung Timun Tomato hijau Tomato masak Ubi keledek Ubi sangkuang | 5 5 7-10 4-7 5 5 1-2 0 0 10-13 0 0 5 8-12 10-13 13-21 8-10 13-16 0 | 90-95 90-95 95 95 90-95 90-95 90-95 95-98 95-100 90-95 98-100 98-100 90-95 90-95 95 90-95 90-95 85-90 95 | 1-1.5 minggu 8 minggu 3-4 hari 7-10 hari 1-1.5 minggu 1-1.5 minggu 6-12 minggu 3-4 minggu 2-3 bulan 5-10 bulan 4-6 minggu 2-3 bulan 1-1.5 minggu 1 minggu 10-14 hari 1-3 minggu 4-7 hari 4-7 bulan 4-5 bulan |
Suhu, kelembapan dan tempoh simpanan yang
diproses secara minimum
diproses secara minimum
Jenis | Suhu (oC) | Kelembapan relatif (%) | Tempoh |
Bawang cili Daun bawang Daun salad Daun saderi Kacang Panjang Kubis Timun | 2 2 2 2 2 2 2 2 | 85-90 85-90 85-90 85-90 85-90 85-90 85-90 85-90 | 3 3 2 2 2 2 2 3 |