Manual Penanaman Tauge
Pendahuluan:
Tauge merupakan sejenis makanan daripada percambahan kekacang atau bean sprout sama ada daripada kacang hijau (vigna radiata) atau kacang hitam (vigna mungo) yang diimport dari Thailand atau Cina. Kajian menunjukkan penghasilan tauge merupakan satu bidang usaha yang berdaya maju. Faktor-faktor yang mempengaruhi penghasilan tauge perlu diberi pengamalan dan dilihat pada setiap peringkat proses pengeluaran.
Kaedah dan Pemerhatian:
Walaupun proses penghasilan tauge nampak mudah, hampir setiap peringkat pemprosesan mempunyai kesan kepada penghasilan. Pemilihan lokasi yang betul dari segi sumber air dan peluang pasaran adalah penting untuk memastikan projek yang berterusan. Bahan mentah terutama benih kacang mestilah bernas dan bersaiz besar bagi mendapatkan hasil yang baik dan boleh didapati secara berterusan dengan harga yang berpatutan.
Aktiviti mengasing dan membasuh perlu dibuat dengan teliti sebelum kacang direndam. Tempoh rendaman 6-8 jam dengan larutan hormon pembesaran Sontoso sudah memadai dan menggaul dengan Siako (selepas mengetos) sebelum peringkat mencambah, boleh memberikan hasil yang paling tinggi di mana 1 kg. benih menghasilkan 8.7 kg. tauge dan keperluan air siraman menjadi lebih rendah dibandingkan dengan hanya menggunakan hormon. Untuk percambahan, penggunaan tong-tong plastik yang telah digunakan atau recycle container yang tebal dan tidak lut cahaya lebih baik kerana ia tahan lasak dan memberi lindungan yang secukupnya pada tauge untuk bercambah.
Proses Pengeluaran Tauge
Menyediakan persekitaran dan lokasi
|
Mendapatkan bahan mentah (kacang hijau / kacang hitam)
|
Mengasingkan benih (benda asing, kacang rosak, batu dan sampah)
|
Membasuh (hingga kacang benar-benar bersih)
|
Merendam (6-8 jam menggunakan larutan hormon jika mahu, 1.5% Sontoso)
|
Mengetos (digaul dengan 1% Siako)
|
Mencambah (4-6 hari dalam bilik yang gelap dan suhu rendah serta tong bersesuaian)
|
Menyiram (2-4 jam sekali)
|
Mengasingkan kulit
|
Membungkus
|
Menjual
Pertambahan jarak masa siraman dan pemberhentian siraman selepas tengah malam boleh menyebabkan hasil tauge rendah. Pemerhatian yang dijalankan di PKT Serdang menunjukkan jarak antara siraman 3 dan 4 jam memberikan hasil tauge 6.4 kg dan 5.3 kg berbandingan dengan 8.7 kg. tauge pada jarak masa siraman 2 jam.
Tauge yang telah matang boleh diasingkan dari kulitnya dengan mudah dan tauge yang dituai hendaklah terus ditoskan selama satu hari sebelum dibungkus supaya kering kerana tauge lebih tahan dijual secara kering. Tauge yang hendak dijual hendaklah dipastikan supaya sampai kepada pengguna dalam keadaan segar.
PENGHASILAN TAUGE CARA AUTOMATIK
(Sumber: Dipetik dari Akhbar Tani Bil. 1/2001)
Dalam pengeluaran tauge, antara masalah yang dihadapi ialah ketidak seragaman waktu penyiraman, isipadu air siraman yang tidak konsisten, kegagalan menyiram pada waktu malam, penggunaan buruh yang intensif, hasil tidak konsisten, tempoh pengeluaran yang lebih panjang dan pengasingan kulit biji daripada tauge. Hasil tauge kurang berkualiti iaitu tauge yang halus, akar panjang, akar pendek, kulit atau testa terlekat pada tauge dan tidak tahan disimpan lama. Kualiti tauge yang dikeluarkan secara manual berubah kerana suhu dalam tong percambahan tidak menentu. Suhu dipengaruhi oleh kekerapan siraman dan kuantiti air.
Bagi memudahkan kerja menyiram tauge serta meningkatkan hasil dan kualiti tauge, sekumpulan pegawai yang diketuai oleh Encik Amat Khri bin Mardi, Penolong Pegawai Pertanian Kanan dari Institut Pertanian Ayer Hitam, Johor telah merekacipta Set Pengeluaran Tauge Automatik (SepTA) yang membolehkan siraman dijalankan secara automatik dengan kos sebanyak RM500.00.
Sistem Pengairan
SepTA terdiri daripada tiga (3) komponen asas iaitu sistem pengairan, pelaras masa Galcon (timer) dan tong penanaman. Sistem pengairan ini digunakan bagi memudahkan kerja siraman air secara berjadual dan kuantiti air siraman yang sekata dapat dilakukan secara automatis. Secara umumnya, bahagian dan peralatan bagi sistem ini ialah PVC tubing, injap kawalan (control valves) dan nozel kabus. Punca air diperolehi daripada paip air rumah.
Setiap unit asas sistem ini mengandungi empat (4) cabang aliran air keluar di mana setiap satunya mempunyai injap kawalan. Empat aliran air keluar diselaraskan dengan tempoh pengeluaran tauge di dalam tong percambahan iaitu selama 4 hari. Susunan boleh diubahsuai tetapi untuk pengeluaran berterusan (harian) mesti mempunyai 4 arah aliran air keluar.
Nozel yang digunakan ialah jenis 'spray jet' dan bersambung kepada 'rigid riser'. Pada tekanan 10-15 psi, nozel ini menghasilkan semburan berbentuk kabus (mist) dan menyiram air dengan kadar 50 liter/jam. Nozel jenis ini amat sesuai untuk siraman tauge kerana siramannya sekata, kadar aliran yang tetap dan isipadu siraman yang rendah. Siraman selama 5 minit dengan kekerapan 90 minit sekali, selama 4 hari hanya menggunakan sebanyak 270 liter air sahaja.
Pelarasan Masa Galcon (Timer)
Pelaras masa (Timer) jenis Galcon ialah alat yang mengawal masa bagi membolehkan sistem pengairan dapat membuat siraman secara automatik. Dengan berbekal kuasa dua biji bateri 9V, pelaras masa Galcon mempunyai kawalan masa minimum sehingga 5 minit. Jangka hayat minimum bateri ialah 15 bulan. Kuasa bateri hanya diperlukan untuk membuka 'solonoid valve' sahaja. Penutupan semula berlaku dengan tolakan spring. Alat kawalan ini amat mudah digunakan. Hanya 2 pelarasan sahaja perlu dibuat iaitu tempoh siraman dan kekerapan siraman.
Tong Penanaman
Tong yang digunakan ialah tong plastik berwarna hitam berukuran 30 liter dengan ketinggian 60 cm (seperti tong sampah). Bahagian penutup tong ditebuk untuk memasukkan nozel penyembur. Bahagian bawah tong, dibuat 20-30 lubang bergaris pusat 4-5 mm. Lubang ini bertujuan mengalir air siraman keluar. Tong yang digunakan mesti berwarna hitam kerana keadaan gelap dalam tong diperlukan untuk percambahan tauge.Dengan tong ini, kuantiti benih kacang yang boleh dimasukkan ialah 1.5 - 2.0 kg dan kapasiti pengeluaran tauge ialah 10 - 15 kg setiap tong. (Setiap 1 kg. benih kacang boleh menghasilkan 7-9 kg. tauge).
Operasi SePTA
Secara ringkasnya, operasi SePTA adalah seperti berikut:-
1. Sambungkan sistem pengairan SePTA kepada paip bekalan air rumah.
2. Laraskan kekerapan dan ulang siraman (watering time No. 1, waterring cycle No. 2 (maksudnya: Siraman selama 5 minit setiap 90 minit).
3. Pasangkan 2 biji bateri 9V
4. Tekan butang operasi (di bahagian bawah 'timer')
5. Pastikan penunjuk kawalan berada di tengah (auto)
6. Siraman berlaku mengikut pelarasan (tempoh menyiram: 5 minit setiap 2.0 kg. kacang)
Set model pengeluaran tauge automatik memudahkan pengeluaran taugeh secara komersil, murah dan menguntungkan. Penggunaan alat pelaras masa Galcon mengurangkan penggunaan air untuk siraman. Dengan rekacipta SePTA, penjimatan masa dilihat daripada aspek menyiram air, membersihkan tauge daripada kulit benih dan pusingan pengeluaran.
Hasil Meningkat
Inovasi SePTA berjaya meningkatkan hasil tauge daripada 6 kg purata kepada 9 kg. purata bagi setiap kilogram benih kacang, iaitu peningkatan sebanyak 3 kg. atau 50%.
Kepuasan Hati Pelanggan
Selain daripada aspek pengurangkan kos, penjimatan masa dan peningkatan hasil, rekacipta SePTA sebagai teknologi tinggi, modal yang rendah, kos operasi yang rendah serta mudah dikendalikan. Pengeluaran tauge boleh dikawal berdasarkan permintaan pasaran. Inovasi yang diperkenalkan ini menyebabkan pengusaha dapat menjimatkan masa yang amat banyak untuk kerja-kerja penyiraman. Pengusaha juga tidak terikat dengan waktu atau kekerapan siraman berbanding secara manual.
Kapasiti Pengeluaran Boleh Ditingkatkan
Pengeluaran boleh ditingkatkan sehingga mencapai 60-160 kg. tauge sehari dengan menambah bilangan saiz tong yang sama atau menukar saiz tong yang lebih besar. Penukaran saiz tong adalah dari segi garispusatnya. Ketinggian optimum yang disyorkan tidak melebihi 80 cm.
Tempoh Pulangan Modal Yang Singkat
Dengan SePTA, pengusaha boleh mendapat kembali modal yang dilaburkan dalam tempoh yang singkat iaitu dalam tempoh 2 tahun atau dengan menanam 100 kg benih kacang.
Kualiti Hasil Yang Tinggi dan Konsisten
Kualiti tauge yang dihasilkan oleh SePTA lebih tinggi serta konsisten, iaitu tauge yang gemuk, putih dan berakar pendek serta tahan disimpan. Keberkesanan SePTA telah mendapat pengiktirafan Jabatan Pertanian apabila inovasi ini memenangani Anugerah Inovasi Jabatan Pertanian 2000. Inovasi ini juga diterima sebagai salah satu teknologi yang akan disebarkan kepada para petani untuk diterima pakai.
PENGHASILAN TAUGE CARA KONVENSIONAL
(Sumber: Dipetik dari Berita Pertanian Bil. 54 Januari-Jun 1996)
Tidak memerlukan tanah dan kawasan yang luas sebagai media untuk pertumbuhannya. Ia boleh diusahakan hanya di dalam atau di kawasan belakang rumah. Apa yang perlu hanyalah sebuah bangunan yang berbumbung dan dinding sahaja. Keperluan asas lain ialah sebuah perigi untuk kegunaan penyiraman. Perusahaan dalam kajian kes ini menghasilkan 7200 kg tauge sehari ataupun 216,000 kg sebulan dengan menggunakan 60 buah peti.
Bahan Input / Keperluan yang diperlukan ialah:-
1. Kacang
Bahan utama perusahaan tauge ialah kacang hijau. Jenis yang digemari oleh pengusaha-pengusaha ialah kacang yang berkulit hitam kerana jenis ini lebih murah daripada jenis yang hijau. Kacang sebanyak 1 kg boleh menghasilkan 10 kg tauge.
2. Peti Percambahan
Peti yang digunakan adalah diperbuat daripada kayu dan berukuran 28 inci panjang, 22 inci lebar dan 26 inci tinggi (70 sm x 55 sm x 65 sm). Kayu di bahagian bawah dijarangkan supaya air boleh mengalir keluar dengan mudahnya. Peti kayu ini boleh digunakan sebanyak 4 kali dan boleh dperbuat dengan pelbagai saiz.
3. Plastik
Plastik ini digunakan untuk dilapik di sekeliling permukaan dalam peti percambahan bagi menjamin kebersihan dan tauge tidak terkena kepada kayu peti.
4. Daun Pisang
Daun pisang diperlukan untuk dilapik di bahagian bawah kotak percambahan supaya benih kacang tidak terjatuh keluar melalui lubang.
5. Peralatan Menyiram
Perusahaan tauge memerlukan air yang jernih dan tidak mempunyai sebarang kimia (termasuk klorin). Maka, hanya air perigi sesuai untuk menghasilkan tauge yang berkualiti. Sebuah pam air (elektrik dan paip getah digunakan dalam penyiraman tauge.
Kaedah Operasi:
1. Pembersihan Kacang
Kacang perlu dibersihkan terlebih dahulu bagi membuang kulit, segala kotoran lain dan kacang yang tidak bernas. Proses ini perlu kerana kacang untuk membuat tauge ini perlu bernas bagi menghasilkan kadar percambahan yang tinggi.
2. Memasukkan Kacang (benih)
Peti perlu dilapik dengan plastik di sekeliling dan daun pisang di bahagian bawah. Bagi peti yang berukuran 70 sm x 55 sm x 65 sm (0.25 m3), benih kacang yang digunakan ialah sebanyak 12 kg. Benih dibuang ke dalam peti yang telah disediakan tadi menggunakan baldi yang telah diketahui berat kandungannya. Langkah seterusnya ialah meratakan kacang di dalam peti bagi memperbaiki kadar percambahannya.
3. Menyiram
Selesai sahaja oeprasi mengisi kacang ke dalam peti, maka proses seterusnya adalah menyiramnya dengan menggunakan air perigi. Bagi memudahkan dan mempercepatkan penyiraman, pam air digunakan. Perkara penting yang perlu dipastikan ialah siraman perlu dilakukan setiap 4 jam selama 6 hari, iaitu 36 kali dalam tempoh hayat tauge. Menyiram adalah perkara yang paling mustahak dalam menjamin pertumbuhan dan kualiti tauge.
4. Penjagaan
Selepas mengisi kacang ke dalam peti, hanya kerja-kerja menyiram sahaja yang diperlukan iaitu setiap 4 jam setiap pusingan. Daun pisang (lapik) perlu dibuang selepas hari kedua. Tiada sebarang bahan kimia atau racun makhluk perosak digunakan.
5. Memungut Hasil
Tauge sedia untuk dipasarkan setelah berusia 6 hari. Saiznya adalah berukuran lebih kurang 6-8 sm panjang. Berat satu peti tauge yang berusia 6 hari ialah kira-kira 120 kg. Biasanya tauge di lapisan atas sebanyak 20-30 kg (20-25%) dari setiap peti akan dibuang kerana ianya adalah terlalu panjang, kurus dan berdaun hijau.
Kos Pengeluaran
Kos bahan merupakan komponen kos pengeluaran yang tertinggi (80%) berbanding dengan kos tenaga (6%) dan kos pelbagai (14%).