Sunday 1 May 2011

Pekerja Mahu Transformasi Direalisasi

Berita Harian online..
2011/05/01

KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji, bebanan kerja setimpal, waktu kerja fleksibel dan persekitaran kerja kondusif bagi mengelakkan gangguan emosi antara punca meningkatkan pendapatan kasar dalam negara serta daya saing ribuan pekerja pelbagai sektor di negara ini sempena Hari Pekerja.

Hari Pekerja mula diiktiraf oleh kerajaan pada 1973 apabila diisytiharkan sebagai hari kelepasan am (cuti umum) pada tarikh 1 Mei setiap tahun dan kerajaan memulakan penganjuran Perhimpunan Hari Pekerja pada 1991.
Tinjauan Berita Minggu di sekitar ibu kota mendapati, kebanyakan pekerja mahu sambutan Hari Pekerja 2011 dengan tema pekerja merealisasi transformasi negara menjadi pemangkin ke arah merealisasikan budaya kerja positif sekali gus memberi kenaikan gaji standard keupayaan tanpa terhad kepada sesetengah jenis pekerjaan saja.
Bagi pekerja syarikat guaman, Mohd Ridwan Mohd, 30, beliau berharap majikan menaikkan gaji pokoknya daripada RM900 kepada RM1,200 memandangkan kos sara dan perbelanjaan hidup terutama di bandar besar semakin meningkat.

Katanya, kenaikan harga barang dan kesesakan membina hidup di ibu kota memerlukan pekerja mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM1,000 bagi individu bujang manakala berkeluarga RM1,500 ke atas.

“Individu bujang boleh bertahan dengan gaji serendah RM1,000 namun, bagi pasangan yang berkeluarga ia tidak mencukupi. Perbelanjaan harian, bil utiliti dan persekolahan anak harus dipenuhi sekurang-kurangnya kelengkapan asas,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Bagi kakitangan swasta, Natjah Daud, 45, budaya kerja positif dan hubungan komunikasi kompeten dua hala antara majikan serta kakitangan mampu menangani masalah persefahaman di tempat kerja sekali gus mengelakkan pergeseran ‘politik dalaman’ syarikat.
Katanya, senario negatif di tempat kerja mampu membunuh semangat pekerja malah, punca kepada gangguan kesihatan yang menyebabkan hasil dan nilai produktiviti kakitangan mahupun syarikat menurun.

“Bayangkan, pekerja diasak dengan tekanan politik dalaman dan ia menyebabkan mereka tersepit. Justeru, tiada guna bekerja keras dan bergaji besar sekiranya pekerja mengalami tekanan emosi yang mampu mengganggu gugat prestasi kerja dan terbawa-bawa dalam kehidupan berkeluarga masing-masing,” katanya.

Tambahnya, suasana kerja yang mesra, fleksibel dan kurang tekanan daripada majikan menyebabkan beliau selesa meninggalkan bidang kerja yang dilalui selama 19 tahun lalu dan memilih bekerja di syarikat kecil namun, mengamalkan persekitaran kerja kondusif.

Eksekutif bank, Ku Alnawirah Ku Ismail, berharap syarikat antarabangsa lebih menjaga kebajikan kakitangan terutama wanita yang sering ditindas dan acap kali menjadi sasaran gangguan seksual terutama kakitangan lelaki berkahwin.

"Persekitaran dan suasana kerja perlu kondusif supaya semua pihak mampu menjalankan tanggungjawab masing-masing secara berhemah. Majikan pastikan individu kurang sopan dan biadap dikenakan tindakan undang-undang dan pengajaran berguna memandangkan tenaga kerja wanita dalam industri melebihi pekerja lelaki,” katanya.

Pekerja swasta, Eliahov Munhing, 25, mahu syarikat antarabangsa memberi lebih peluang kepada penduduk tempatan mengisi jawatan penting di dalam organisasi syarikat bagi menjayakan kemampuan kredibiliti serta kebolehan golongan terpelajar di negara ini.

Kakitangan awam, Sulaiman Abdullah, 48, bersetuju bebanan kerja dibahagikan sama rata antara kakitangan bagi mengelakkan gangguan emosi terhadap segelintir individu dalam meluangkan lebih masa bersama keluarga masing-masing.

Katanya, waktu kerja yang tidak menentu selain sikap majikan yang sukakan ‘individu tertentu’ menyebabkan sesetengah pekerja tidak mampu mengetengahkan kebolehan masing-masing sekali gus, turut memberi tekanan pada pekerja ‘harapan’ itu.

Sementara itu, Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A Balasubramaniam, menggesa kerajaan supaya mempercepatkan pelaksanaan gaji minimum bagi menggalakkan orang ramai mengisi kekosongan jawatan sokongan.

“Pelaksanaan gaji minimum akan meningkatkan produktiviti sekali gus mengurangkan kemasukan pekerja asing ke negara ini.. justeru kita harap kerajaan kuatkuasakan segera.

“Lebih 40 aduan diterima menyatakan syarikat enggan mengiktiraf penubuhan kesatuan pekerja dan kita fokus kepada masalah itu,” katanya.




SERTAI KAMI DI FACEBOOK

No comments: